Mustafa Mungkir Janji, Tidak Lakukan Sumpah Laknat

MARANG 4 Mei - Seperti dijangka, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali malam tadi memungkiri janjinya untuk melakukan sumpah laknat berkaitan cakera padat video (VCD) seks yang dikaitkan dengannya.

Sebaliknya, beliau memberi alasan tindakan itu dibuat selepas mendapat nasihat dua pemimpin tertinggi Pas iaitu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tindakan beliau itu ternyata menghampakan para penyokong Pas yang hadir dalam satu majlis di dewan futsal bersebelahan Masjid Rusila di sini malam tadi yang mengharapkan beliau berbuat demikian bagi membersihkan namanya dan parti Pas.

Sebelum ini, Mustafa dikatakan berjanji untuk membuat lafaz sumpah laknat itu bagi membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan VCD seks yang tersebar luas dalam laman-laman blog dan internet.

"Saya telah hubungi Setiausaha Politik kepada Mursyidul Am dan Presiden Pas tentang hasrat itu dan hasil perbincangan akhirnya Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi memutuskan saya tidak perlu melakukan sumpah," katanya dalam ceramah tersebut.

Bagi menutup tanda tanya para penyokong Pas berhubung isu itu, Mustafa sebaliknya menyalahkan UMNO yang didakwa bertanggungjawab mengaitkan beliau dengan penyebaran VCD itu. [SUMBER]