Makkah: Seorang imam sebuah masjid di Arab Saudi yang berusia 80 tahun dan sudah 60 kali menunaikan haji, semalam memuji perkhidmatan ibadah itu yang dilaksanakan sekarang.

Beliau menyifatkan keadaan seperti yang ada sekarang sebagai amat selesa berbanding dengan suasana musim haji masa lalu.

“Mengerjakan haji sekarang seperti berkelah. Inilah hasil usaha Raja Abdullah dan Putera Mahkotanya, untuk memberi khidmat kepada tetamu Allah,” kata Sheikh Jabran Yahya Silaiman Al- Malki.

Beliau yang juga imam Masjid Hiraz di Al-Dair di wilayah Jazan, barat daya Arab Saudi berkata, perkhidmatan yang lengkap yang diberikan kepada jemaah membolehkan mereka menunaikan rukun Islam kelima itu dengan mudah dan selesa.

“Keadaan musim haji dulu mungkin tidak sebaik ini kerana sumber ketika itu amat terhad,” katanya.

Menurutnya, kali pertama beliau menunaikan ibadah itu ialah pada 1954, bersama-sama bapanya, ketika pemerintahan Raja Saud.

“Ia pengalaman penuh dengan kesukaran. Saya tidak akan melupakannya. Sumber yang ada begitu sedikit sementara pengangkutan pula begitu teruk,” katanya.

Menurutnya, perjalanan dari Jazan ke Makkah mengambil masa dua minggu.

“Tidak ada jalan bertar. Kereta yang ada pun sudah usang dan keluar banyak asap.

“Air tidak cukup. Begitu juga makanan. Tandas juga tidak wujud di kawasan suci.
Bilangan jemaah hanya 250,000. Kami tinggal di khemah berhampiran jamrah di Mina. Jemaah terpaksa berjalan kaki antara Mina, Arafah dan Muzdalifah,” katanya.